Friday 1 May 2015

Kisah Bermula

'Mak, Anna nak pergi Jordan,' luahan saya kepada ibu saya di talian telefon. Saya masih ingat lagi, saya sedang duduk bersila di dalam dewan yang penuh manusia. Saya berada di salah sebuah universiti awam, minggu itu ialah minggu orientasi untuk pelajar Asasi. Saya di pilih untuk mengikuti pengajian dalam Asasi Sains. Namun, dari saat ditinggalkan bapa saya, saat untuk saya mula berdikari, saat pertama kalinya saya ditinggalkan pada umur 18 tahun, saya tahu tempat saya bukan di sini.

Pada hari pertama, malam pertama sahaja, saya tidur dalam keadaan menangis, hari itu kami pulang dari orientasi pada pukul 3 pagi. Ditambah dengan pintu yang terkunci. Saya dan rakan sebilik, N, tidak punya kunci, kami terkunci dari luar. Kami terpaksa memanggil ketua bangunan untuk masalah ini. Dan saya tidur dalam tangisan dalam diam supaya tidak didengari N, mungkin dia tahu, mungkin dia tidak, tetapi, perjalanan perlu diteruskan.

'Anna, Jordan itu berada di kawasan Israel,' ibuku menyambung di talian sana. saya ketika itu, berasa buat pertama kali, aku berasa sunyi di lautan manusia. Ramai sahaja pelajar asasi yang lain, malah ada sahaja kawan sesekolah saya. Namun, saya berasa berkeseorangan.

'Tak kisah, Nak juga,' saya tegas dengan pilihan ini. Saya sebelum ini telah menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke Jordan dalam bidang pengajian perubatan. Namun, peraturannya saya perlu melaksanakan setahun pengajian pertama di universiti swasta lokal di Selangor.

Dari tempoh penerimaanku untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, ibu, bapa, malah ayah saudara saya tidak bersetuju. Mereka menyuruh saya untuk duduk di Malaysia sahaja. Saya hanya mengikuti. Oleh itu, saya memilih untuk membuat asasi.

Namun, sejak hari pertama saya di situ sehingga saat saya menelfon ibu saya, jiwa saya tidak tenang. Masalah demi masalah berlaku. Saya berasa kekok berjalan berseorangan di universiti itu, saya tidak selesa berjalan di dalam kawasan itu, untuk makan juga, saya tidak dapat menyesuaikan diri. Telefon bimbit saya juga rosak dimasuki air. Semua serba tidak kena.

Rakan serumah, malah rakan sebilik, mereka baik. Kami tinggal berlapan dalam rumah yang berpunya 4 bilik dan kami berkongsi 2 orang. Mereka senang berkawan, malah mereka yang mengajak saya untuk berulang alik kelas, tetapi ada masa kami berpisah jua.

Pada minggu kedua, telah bermulanya kelas secara formal. Saya mengambil subjek Kimia, Biologi, Fizik, dan Matematik. Namun, saya seorang pelajar yang pelik. Hanya hari pertama dan kedua sahaja saya menghadiri kelas. Pada hari kedua, ibuku datang untuk membawa saya pulang. Kerana saya menangis. Saya menangis hampir setiap hari. Dan saat saya berjumpa ibu di dalam kereta saya dari jauh akhirnya menangis lagi sekali. Seolah ada beban di dalam jiwa yang saya tanggung, nampaknya ibu membuatkan saya menangis. Saya tidak sesuai di situ.

Semenjak hari itu saya tidak lagi menuju ke universiti tersebut. Saya tinggal di rumah. Saya tidak melakukan apa-apa, bekerja apatah lagi, saya mengisi masa dengan aktiviti leka, melayari internet, menonton drama. Namun, saya ketika itu mengharapkan akan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Jordan. Saya hanya diberitahu melalui internet sahaja.

Saya juga merancang pelan seterusnya jikalau saya tidak ada rezeki juga untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan. Saya bercadang untuk masuk sahaja kursus diploma kejururawatan. Saya dapat merasakan saya sesuai untuk bidang perubatan. Dan sekurangnya, diploma ini dapat membawa saya untuk bekerja di kawasan yang sama walaupun dengan jawatan berbeza.

Sebulan lamanya saya menunggu, setiap hari pada pukul 1 petang, saya menunggu akan surat itu. Kadang-kadang saya hampir putus asa.

Sehinggalah pada satu hari, pada hari yang saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya terdengar bunyi hon. Dan sebuah van berwarna kuning berada di depan rumah. Saya segera mengenakan tudung dan keluar. Berlari. Saya menandatangani dokumen tersebut. Saya mengucapkan terima kasih kepada encik tersebut. Tanpa menlengahkan masa, saya membuka surat tersebut. Surat tawaran. Syukur, saya terus menghubungi ibu saya yang sedang bekerja, dalam tangisan, saya berbisik kepada ibu, 'Mak, Anna telah dapat surat,' dan ibu saya berkata, 'Kan mak dah kata, akan sampai juga,'

No comments: